Wednesday, 9 October 2013

SUKAN : Abdul Rahman Ibrahim Jurulatih Bola Sepak Terengganu Yang Baharu






KUALA TERENGGANU, 9 Okt (Bernama) -- Jurulatih skuad bola sepak PKNS Abdul Rahman Ibrahim pada Rabu secara rasmi dilantik ketua jurulatih bola sepak Terengganu yang baharu bagi menggantikan E. Elavarasan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata faktor utama PBSNT memilih Abdul Rahman, 67, adalah kerana beliau merupakan anak jati Terengganu.

"Setelah dilihat, kami percaya beliau bersemangat untuk membawa Terengganu ke arah yang lebih baik pada masa depan.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Elavarasan kerana memberikan komitmen kepada pasukan Terengganu selama menjadi ketua jurulatih," katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Rahman yang empat tahun membimbing PKNS FC (2009-2013) sebelum ini pernah membimbing beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Terengganu (1983-1984 dan 1998); Perlis (1996-1997 dan 2005-2007) dan Selangor (2001-2002).

Beliau juga pernah membimbing pasukan bola sepak kebangsaan pada tahun 1998 hingga 2000.

Selain itu, Wan Ahmad Nizam berkata PBSNT juga telah melantik Mohammad Nik sebagai penolong jurulatih dan Zubir Ibrahim sebagai jurulatih penjaga gawang.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya mengalu-alukan dan membuka pintu kepada pemain-pemain Terengganu yang beraksi di luar untuk pulang menabur bakti di negeri kelahiran mereka.

Sehubungan itu katanya setakat ini beberapa orang pemain Terengganu telah menyahut seruan dan menandatangani persefahaman dengan pengurusan baharu PBSNT itu.

Menyentuh mengenai pemain import, Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya dalam proses mencari pemain import dari Asia terutama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

"Apa yang pasti, kita sudah ada seorang pemain import dari Croatia yang dijangka datang ke sini pada 15 Nov untuk menjalani latihan," katanya.

Beliau berkata persiapan pasukan Terengganu dijangka bermula 4 Nov apabila proses menandatangani persefahaman pemain selesai.

-- BERNAMA

Tuesday, 8 October 2013

"JASAMU DIKENANG" - PERTUKARAN US. AZARUL KE SK MEDAN JAYA

Petikan daripada skseriberang.blogspot.com


KUALA T'GANU (07 OKTOBER 2013) : Hari ini diadakan jamuan sempena pertukaran 3 orang guru dari SK Seri Berang. Mereka terdiri daripada Puan Alawiah Othman (Guru Bimbingan) ke SK Ajil, Hulu Terengganu, Ustaz Azarul Razamin ke SK Medan Jaya, Marang dan juga Encik Shahidan Abu Kasim (yang juga Penyelaras Bilik Operasi Buku Teks PPD Hulu Terengganu) dinaikkan pangkat ke jawatan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal   Murid (GPK HEM) di SK Binjai Kertas, Hulu Terengganu.

Majlis berlangsung di Prinzpark Hotel, Kuala Ibai.

Berikut antara yang sempat dirakam :


Ucapan Aluan Pengerusi Kelab Guru
Ucapan Ustaz Azarul Razamin

Monday, 7 October 2013

TAKZIAH BUAT CIKGU MOHD SABRI

KUBANG PANJANG, K.T'GANU (8 Okt. 2013) : Pagi ini, warga SK Medan Jaya telah dikejutkan dengan berita kematian bonda tercinta salah seorang guru kami iaitu Cikgu Sabri bin Yaakob. Almarhumah bonda Encik Sabri telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.45 malam tadi. Kami Bloggers Team dan Semua warga SK Medan Jaya merakamkan ucapan Takziah dan turut berdukacita di atas pemergian Almarhumah. Semoga Cikgu Sabri dan Keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran serta tabah menghadapi ujian ini. Alfatihah.....

KEJOHANAN BALAPAN, PADANG DAN SUKANEKA SEKOLAH 2013

KEJOHANAN BALAPAN, PADANG DAN SUKANEKA
ANTARA RUMAH SUKAN :

BIRU - MERAH - HIJAU

09 OKTOBER 2013 | RABU - 11 pagi hingga 5 petang
10 OKTOBER 2013 | KHAMIS - 08 pagi hingga 2 petang
PADANG SK MEDAN JAYA

SEMUA IBU BAPA/PENJAGA MURID DIJEMPUT HADIR.


Sunday, 6 October 2013

2 MURID SKMJ SERTAI KLAQ 2013



Marang : 2 murid sekolah ini menyertai Kem Literasi al-Quran (KLAQ) baru-baru ini. Kem yang berlangsung selama dua hari di Angullia Beach House Resort, Seberang Marang dianjurkan oleh PPD Marang dengan kerjasama barisan fasilitator yang terpilih.

Blogger SKMJ sempat merakam perjalanan majlis penutup KLAQ Marang 2013 :

Penyelia Kanan Pendidikan Islam PPD Marang
menyampaikan ucapan perasmian penutup.





Adli Nazir Abdullah dan Norsuhaini Norsulaiman dipilih menyertai KLAQ kali ini yang bertujuan membantu murid dalam penguasaan asas bacaan al-Quran. Pendekatan Iqra' digunakan dalam bimbingan berkumpulan.

Semoga berjaya...


arms/berita...


LADAP 2013 : SARANA

Medan Jaya, Marang : Guru-guru di SK Medan Jaya telah mengikuti satu kursus pada hari ini anjuran Unit Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP).

Kursus berlangsung di bilik mesyuarat sekolah dikelolakan oleh Pn. Ainon Mardiah Israh selaku Setiausaha LADAP SK Medan Jaya.

Sarana menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-4 membawa maksud :

(segala) sesuatu yg dapat digunakan sbg alat dsb utk mencapai atau melaksanakan sesuatu: bahasa Melayu hendaklah dibina agar dapat berfungsi sbg ~ yg benar-benar dapat menyampaikan ilmu secara berkesan; karya-karya sastera ialah wadah atau ~ utk menyatakan dunia masyarakat dan zaman-nya.

Sarana Sekolah dan Sarana Ibu Bapa adalah sebahagian kandungan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, baru-baru ini.

Sarana mencakupi 6 elemen utama yang menyokong Sistem Pembelajaran dan Amalan Terbaik dalam pendidikan negara iaitu :

1. Iklim sekolah
2. Komunikasi berkesan
3. Sokongan terhadap kejayaan murid
4. Tanggungjawab bersama
5. Keputusan bersama
6. Kerjasama dengan komuniti

Semoga warga sekolah memperoleh pengetahuan terkini dalam membangunkan kecemerlangan murid sekolah.


arms/berita...

Wednesday, 2 October 2013

Penjawat Awam Perlu Berani Mencari Penyelesaian - Muhyiddin



PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa menyarankan supaya penjawat awam berani mencari penyelesaian strategik dan kreatif dalam mendepani cabaran melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada negara.
Sehubungan itu, beliau berkata penjawat awam perlu bersedia untuk menjadi perintis dalam setiap bidang yang diterokai dan mengubah tanggapan "buat kerja seperti biasa".
"Budaya kerja silo, sifat cemburu antara agensi dan terlampau menjaga kawasan perlulah dielakkan. Semua jentera pentadbiran awam perlu saling bekerjasama, bagi mengurangkan birokrasi serta berganding bahu menyelesaikan isu-isu bersilang secara strategik dan efektif," katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2013 di sini malam Selasa.
Beliau berkata ketua-ketua agensi juga perlu memainkan peranan kepimpinan untuk menjayakan program dan projek kerajaan dengan berkesan dan efisien dengan mengupayakan modal insan di organisasi yang dipimpinnya.
Turut hadir pada majlis bertemakan "Kecemerlangan Berterusan Menerusi Inovasi" ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Nancy Shukri, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Joseph Entulu Belaun.
Muhyiddin berkata cabaran utama kepada penjawat awam pada hari ini adalah untuk meningkatkan produktiviti dan kapasiti dengan menggunakan sumber yang terhad sama ada dari segi peruntukan kewangan dan sumber manusia.
Sehubungan itu, beliau berkata elemen kreativiti dan inovasi penting agar kecemerlangan jentera perkhidmatan awam dapat diteruskan dan dipertingkatkan.
Sementara itu, Muhyiddin menyarankan ketua-ketua jabatan supaya sentiasa mendengar pandangan dan idea warga organisasi kerana golongan itu berhadapan dengan situasi sebenar dan memahami kehendak dan keperluan pelanggan atau rakyat.
Selain itu, beliau berkata para pegawai perlu diberi galakan sama ada menerusi latihan serta kursus, pemberian insentif kewangan, malah juga dari aspek kebajikan bagi menjaga moral dan motivasi mereka.
"Walau bagaimanapun, ganjaran bukanlah satu matlamat utama kepada penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, sebaiknya mereka harus menanam konsep keikhlasan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab," katanya.
Muhyiddin mencadangkan agar pengiktirafan dan ganjaran kepada penjawat awam diperluaskan dan tidak terhad hanya kepada anugerah perkhidmatan cemerlang, penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran semata-mata.
"Saya percaya lebih banyak ganjaran diberi, lebih banyak faedah yang akan diterima," katanya.
Pada majlis yang sama, Muhyiddin juga melancarkan buku "Menelusuri 100 tahun Institusi Ketua Setiausaha Negara" yang memaparkan sejarah, peranan dan cabaran yang dihadapi Institusi Pentadbiran Awam yang paling utama di Malaysia.
"Penerbitan buku ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan memberi pedoman serta tauladan kepada semua penjawat awam dan orang ramai akan kepentingannya dan jerih payah membangunkan negara dalam era pentadbiran yang berbeza.
"Buku ini juga diharap dapat memberikan inspirasi dan semangat kepada generasi baharu penjawat awam tentang kepentingan peranan yang perlu dimainkan dalam memastikan negara terus maju, makmur dan sejahtera menerusi penggubalan dan pelaksanaan polisi negara yang mapan dan strategik," katanya. - BERNAMA

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang di adakan pada 28 Jun 2018, tahniah kepada semua warga sekolah yang menjayakan program ini dengan ...