Wednesday 9 October 2013

SUKAN : Abdul Rahman Ibrahim Jurulatih Bola Sepak Terengganu Yang Baharu






KUALA TERENGGANU, 9 Okt (Bernama) -- Jurulatih skuad bola sepak PKNS Abdul Rahman Ibrahim pada Rabu secara rasmi dilantik ketua jurulatih bola sepak Terengganu yang baharu bagi menggantikan E. Elavarasan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata faktor utama PBSNT memilih Abdul Rahman, 67, adalah kerana beliau merupakan anak jati Terengganu.

"Setelah dilihat, kami percaya beliau bersemangat untuk membawa Terengganu ke arah yang lebih baik pada masa depan.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Elavarasan kerana memberikan komitmen kepada pasukan Terengganu selama menjadi ketua jurulatih," katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Rahman yang empat tahun membimbing PKNS FC (2009-2013) sebelum ini pernah membimbing beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Terengganu (1983-1984 dan 1998); Perlis (1996-1997 dan 2005-2007) dan Selangor (2001-2002).

Beliau juga pernah membimbing pasukan bola sepak kebangsaan pada tahun 1998 hingga 2000.

Selain itu, Wan Ahmad Nizam berkata PBSNT juga telah melantik Mohammad Nik sebagai penolong jurulatih dan Zubir Ibrahim sebagai jurulatih penjaga gawang.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya mengalu-alukan dan membuka pintu kepada pemain-pemain Terengganu yang beraksi di luar untuk pulang menabur bakti di negeri kelahiran mereka.

Sehubungan itu katanya setakat ini beberapa orang pemain Terengganu telah menyahut seruan dan menandatangani persefahaman dengan pengurusan baharu PBSNT itu.

Menyentuh mengenai pemain import, Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya dalam proses mencari pemain import dari Asia terutama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

"Apa yang pasti, kita sudah ada seorang pemain import dari Croatia yang dijangka datang ke sini pada 15 Nov untuk menjalani latihan," katanya.

Beliau berkata persiapan pasukan Terengganu dijangka bermula 4 Nov apabila proses menandatangani persefahaman pemain selesai.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang di adakan pada 28 Jun 2018, tahniah kepada semua warga sekolah yang menjayakan program ini dengan ...