Wednesday 2 October 2013

Penjawat Awam Perlu Berani Mencari Penyelesaian - Muhyiddin



PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa menyarankan supaya penjawat awam berani mencari penyelesaian strategik dan kreatif dalam mendepani cabaran melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada negara.
Sehubungan itu, beliau berkata penjawat awam perlu bersedia untuk menjadi perintis dalam setiap bidang yang diterokai dan mengubah tanggapan "buat kerja seperti biasa".
"Budaya kerja silo, sifat cemburu antara agensi dan terlampau menjaga kawasan perlulah dielakkan. Semua jentera pentadbiran awam perlu saling bekerjasama, bagi mengurangkan birokrasi serta berganding bahu menyelesaikan isu-isu bersilang secara strategik dan efektif," katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2013 di sini malam Selasa.
Beliau berkata ketua-ketua agensi juga perlu memainkan peranan kepimpinan untuk menjayakan program dan projek kerajaan dengan berkesan dan efisien dengan mengupayakan modal insan di organisasi yang dipimpinnya.
Turut hadir pada majlis bertemakan "Kecemerlangan Berterusan Menerusi Inovasi" ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Nancy Shukri, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Joseph Entulu Belaun.
Muhyiddin berkata cabaran utama kepada penjawat awam pada hari ini adalah untuk meningkatkan produktiviti dan kapasiti dengan menggunakan sumber yang terhad sama ada dari segi peruntukan kewangan dan sumber manusia.
Sehubungan itu, beliau berkata elemen kreativiti dan inovasi penting agar kecemerlangan jentera perkhidmatan awam dapat diteruskan dan dipertingkatkan.
Sementara itu, Muhyiddin menyarankan ketua-ketua jabatan supaya sentiasa mendengar pandangan dan idea warga organisasi kerana golongan itu berhadapan dengan situasi sebenar dan memahami kehendak dan keperluan pelanggan atau rakyat.
Selain itu, beliau berkata para pegawai perlu diberi galakan sama ada menerusi latihan serta kursus, pemberian insentif kewangan, malah juga dari aspek kebajikan bagi menjaga moral dan motivasi mereka.
"Walau bagaimanapun, ganjaran bukanlah satu matlamat utama kepada penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, sebaiknya mereka harus menanam konsep keikhlasan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab," katanya.
Muhyiddin mencadangkan agar pengiktirafan dan ganjaran kepada penjawat awam diperluaskan dan tidak terhad hanya kepada anugerah perkhidmatan cemerlang, penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran semata-mata.
"Saya percaya lebih banyak ganjaran diberi, lebih banyak faedah yang akan diterima," katanya.
Pada majlis yang sama, Muhyiddin juga melancarkan buku "Menelusuri 100 tahun Institusi Ketua Setiausaha Negara" yang memaparkan sejarah, peranan dan cabaran yang dihadapi Institusi Pentadbiran Awam yang paling utama di Malaysia.
"Penerbitan buku ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan memberi pedoman serta tauladan kepada semua penjawat awam dan orang ramai akan kepentingannya dan jerih payah membangunkan negara dalam era pentadbiran yang berbeza.
"Buku ini juga diharap dapat memberikan inspirasi dan semangat kepada generasi baharu penjawat awam tentang kepentingan peranan yang perlu dimainkan dalam memastikan negara terus maju, makmur dan sejahtera menerusi penggubalan dan pelaksanaan polisi negara yang mapan dan strategik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang di adakan pada 28 Jun 2018, tahniah kepada semua warga sekolah yang menjayakan program ini dengan ...